sila like fan page rileks~ tenang~... terima kasih

suka blog ni?

IKLAN

Friday 23 March 2012

Astro First Akan Hancurkan Filem Tempatan

Pin It


PETALING JAYA – Penerbit dan pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nazri meramalkan industri filem negara bakal hancur disebabkan oleh saluran Astro First yang menayangkan filem-filem yang masih panas ditayangkan di pawagam-pawagam.
Menurut pengarah filem yang sering menghasilkan karya-karya box office tempatan itu, nilai eksklusif bagi sesebuah filem akan jatuh merudum dan bilangan penonton di pawagam turut akan terjejas pada masa akan datang, selain diancam oleh masalah cetak rompak.
“Tetapi berdasarkan pandangan saya, industri filem tempatan akan hancur kerana pada masa akan datang masyarakat tidak akan berminat untuk menonton wayang kerana selepas dua minggu tayangannya di panggung, ia dengan mudah boleh didapati menerusi Astro First.
“Bukan itu sahaja, industri cetak rompak juga semakin ligat merakam filem-filem yang disiarkan itu dengan mudah. Sebab itu kita dapati karya-karya tempatan dengan cepat berada di laman Youtube,” katanya yang dipetik dari Mstar Online, baru-baru ini.
Selain itu, beliau berpendapat bahawa seharusnya industri filem perlu ditukar kembali ke konsep yang digunapakai sebelum kewujudan Astro First di mana filem-filem hanya boleh disiarkan di kaca televisyen beberapa bulan selepas ditayangkan di pawagam.
Ahmad Idham yang juga merupakan pemilik syarikat Exellent Pictures mengambil langkah berkenaan apabila menandatangani perjanjian persefahaman dengan TV3 yang diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.
“Dalam kolaborasi ini kami membuat perjanjian situasi menang-menang di mana pihak TV3 hanya akan menayangkan filem-filem terbitan Excellent Pictures selepas beberapa bulan tayangannya tamat di panggung.
“Dan jangka masanya tidak tentu sama ada siarannya akan dikeluarkan lebih awal atau ketika di musim-musim perayaan tertentu.
“Dengan cara ini, sekurang-kurangnya penonton di panggung tidak akan berasa rugi selain filem-filem tempatan kita akan menjadi lebih eksklusif,” katanya lagi.
Beliau menjelaskan bahawa melalui perjanjian itu, Excellent Pictures secara eksklusif akan membekalkan semua filem-filem produksinya kepada stesen televisyen itu di dalam tempoh dua tahun.
Bagi Ahmad Izham pula, kejayaan yang dikecapi oleh Excellent Pictures dan kerjasama yang terjalin sebelum ini menyebabkan syarikat produksi itu menjadi pilihan pihaknya untuk mendapatkan perjanjian persefahaman tersebut.
“Sebelum ini kami pernah bekerjasama dan sememangnya sudah ada keserasian memahami cara kerja masing-masing.
“Menerusi kolaborasi ini, ia memudahkan kedua-dua belah pihak dalam memasarkan filem dan produk yang dihasilkan dengan lebih efektif,” ujarnya.
Difahamkan bahawa antara filem-filem terbitan Excellent Pictures yang bakal ditayangkan di TV3 itu ialah Mail Lambung, Gerimis Mengundang, Jangan Pandang-Pandang dan Cinta Atas Tar. – Mynewshub.my

0 comments:

Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by AllBlogTools.com Enhanced by MyBloggerTricks.com

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...