KUALA LUMPUR – Sudah menjadi lumrah buat artis tanah air kita untuk menyediakan laman rasmi Facebook sebagai medium untuk merapatkan diri dengan peminat-peminat yang sentiasa berdiri kukuh memberi sokongan jitu dalam perkembangan seni artis itu.
Tidak terlepas untuk mengenali dan berkomunikasi dengan peminat-peminat secara lebih dekat, Zizan Raja Lawak juga mempunyai Facebook rasmi sendiri untuk peminat-peminatnya.
Namun, dalam niat murni Zizan untuk komited berkomunikasi, laman Facebook rasmi yang mencecah hampir 1.3 juta peminat-peminatnya telah digodam petang semalam.
Penggodam yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Segan Crew’ telah berani mengambil alih pengurusan laman Facebook rasmi Zizan dan sempat memberikan ucapan mereka kepada Zizan dan juga peminat-peminatnya.
Dengan terang-terangan, Segan Crew menyatakan tujuan mereka menggodam laman Facebook Zizan hanyalah untuk menguji tahap keselamatan laman itu.
“Assalammualaikum. Secara rasminya Fanpage ini dikendalikan oleh Segan.Crew. Jangan marah2.We only want test our artis fanpage vulnerability . Next target. . .! P/S: Mmmuahh! Zizan !,” tulis Segan Crew yang diambil dari blog Mediaserius.com.
Dalam kekecohan pihak pengurusan Zizan untuk mendapatkan semula laman Facebook itu, sedikit lucu apabila Segan Crew memberikan jaminan akan memulangkan semula laman sosial itu kepada pihak Zizan semula pada jam 7 petang hari ini.
Selain itu, Segan Crew turut memberikan ‘amaran’ bahawa kegiatan menggodam laman-laman sosial artis-artis dan juga ahli politik yang lain akan turut mereka lakukan dan gigih dilakukan.
“TO ADMIN:Fanpage akan dipulangkan pada 27.03.2012.//7.00P.m waktu tempatan .Sila inbox untuk lebih info ^_^.
“TO ZIZAN FANS: Love u all ! Jangan la emo . Besok kita dah tak jumpa lagi dah.
“P/S./Kami akan bergerak aktif selepas ini./Kepada artis-artis/ahlipolitik/.etc . . . ./BEWARE!,” tulis Segan Crew.
Oleh: NAIMAH SHAARI