Insiden cemas itu berlaku kira-kira pukul 11.35 pagi ketika pelajar berkenaan sedang berehat di rumah mereka yang terletak di tingkat 10 selepas pulang dari kuliah di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Taman Shamelin Perkasa.
Salah seorang daripada mereka, Natasha Emira Zaini, 20, memberitahu, dia dan rakan-rakan terhidu bau dipercayai akibat kebocoran gas semasa berjalan di koridor hadapan rumah jiran mereka.
"Kami tidak mengesyaki apa-apa dan masuk ke rumah untuk berehat. Selang lima minit, kami terdengar dua bunyi letupan kuat seperti bom menyebabkan masing-masing panik," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini.
Menurut Natasha Emira, mereka kemudian panik apabila mendapati api sedang marak di rumah jirannya itu sebaik sahaja menjenguk keluar untuk melihat apa berlaku.
Katanya, dalam keadaan cemas itu, mereka menjerit meminta tolong dan berlari menyelamatkan diri dengan membawa komputer riba dan dokumen pengenalan diri sebelum menghubungi bomba.
Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Jalan Maharajalela, Wan Irlinda Wan Haron berkata, pihaknya yang dimaklumkan mengenai kejadian itu menghantar empat buah jentera bersama 30 anggota dari Jalan Maharajalela dan Pudu untuk memadam kebakaran.
"Api membakar keseluruhan rumah berkenaan tetapi mujurlah penghuninya tiada di rumah ketika itu.
"Berdasarkan siasatan awal, kita percaya kebakaran yang memusnahkan hampir keseluruhan rumah adalah berpunca akibat kebocoran gas memasak," katanya.
Mangsa, M. Gunaseelan, 36, ketika ditemui memberitahu, dia sudah enam tahun tinggal menyewa rumah tersebut bersama isteri dan seorang anak lelaki berusia lima tahun.
Menurutnya, dia bersyukur kerana semasa kejadian dia bersama isteri masing-masing berada di tempat kerja, manakala anaknya di tadika.
Gunaseelan yang bekerja sebagai pemandu lori di Ara Damansara, Petaling Jaya berkata, semua barang dalam rumah termasuk wang tunai RM1,000 yang ditinggalkan musnah terbakar dalam kejadian itu..
Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my
0 comments:
Post a Comment