KUALA LUMPUR: Mereka tahu bakal dijemput ajal pada bila-bila masa
kerana disahkan menghidap Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (Aids) atau
menjadi pembawa virus HIV.
Bagaimanapun, persiapan sebelum dan selepas mati memerlukan perbelanjaan
besar. Justeru, selagi ada hayat, mereka perlu mengumpul wang sebanyak
mungkin walaupun tindakan itu menyebarkan virus maut kepada orang lain.
Itulah tindakan sebahagian wanita pekerja seks dari China yang sanggup
‘berkhidmat’ di negara ini semata-mata untuk mengumpul duit mati
sebanyak mungkin.
Mereka mudah berbuat demikian kerana sebahagian besar memiliki pakej
sebagai wanita idaman lelaki hidung belang di Malaysia seperti kulit
putih gebu, montok dan tinggi lampai.
Ini dibuktikan apabila siasatan polis mendapati ada antara wanita
terbabit mampu memperoleh lebih RM30,000 sebulan dengan hanya ‘bekerja’
20 hari walaupun mengaku menghidap Aids/HIV.
Lebih bahaya, wanita terbabit sebenarnya dikategorikan sebagai gred C
iaitu sudah lama ‘berkhidmat’ sebelum beralih angin ke Malaysia,
manakala wanita gred A dan B lazimnya menawarkan khidmat di negara
sendiri atau negara maju yang mempunyai kuasa beli lebih tinggi.
Fenomena menakutkan itu didedahkan Ketua Penolong Pengarah Cawangan
Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil
Hassan berdasarkan operasi dan serbuan polis sebelum ini.
“Mereka mengaku ke Malaysia untuk mencari duit sebanyak mungkin dan
berbuat demikian hingga penghujung nyawa, walaupun menyedari menghidap
Aids atau pembawa virus HIV,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.
Berdasarkan siasatan, katanya, kebanyakan wanita terbabit menguruskan
sendiri kemasukan ke negara ini dan dengan kos tidak sampai RM500,
mereka mampu membawa pulang RM36,200 selepas hanya ‘bekerja’ 20 hari.
Itu juga menjadi punca ramai wanita asing gemar ‘cari makan’ di
Malaysia.
“Lazimnya wanita, terutama dari China, diberikan gred iaitu A, B atau C.
Di Malaysia, kebanyakan wanita terbabit sebenarnya cuma gred C,
manakala gred A atau B mengisi keperluan di negara sendiri atau negara
maju lain.
“Golongan gred C paling ramai membawa musibah, terutama jika tahap kesihatan mereka tidak diperiksa.
“Bayangkan ada antara mereka melayan sehingga 10 lelaki sehari tanpa
mengetahui status lelaki ditiduri, sekali gus mendedahkan mereka kepada
pelbagai penyakit berjangkit.
“Lebih mengecewakan, ada antaranya terus menjalankan aktiviti itu walaupun menyedari mereka berpenyakit.
“Ini tidak termasuk status kesihatan lelaki asing yang meniduri mereka
ketika masih dikategorikan gred A atau B di negara lain sebelum ini,”
katanya.
Menurut Abdul Jalil, setakat ini warga China, Thailand, Indonesia dan
Vietnam masih mendominasi kegiatan maksiat di negara ini berdasarkan
statistik diperoleh D7 hasil tangkapan pada 2010 dan 2011, meskipun
wujud pekerja seks dari negara baru seperti Uganda dan beberapa negara
Timur Tengah.
Katanya, ada antara negara terbabit mencatatkan penurunan, manakala ada
juga yang menunjukkan peningkatan dan ia dipercayai didorong beberapa
faktor, terutama bahasa.
“Sebagai contoh pada 2010, jumlah tangkapan membabitkan wanita China
sebanyak 6,199 orang manakala pada 2011 jumlahnya menurun kepada 5,795
berbanding Vietnam yang mencatat peningkatan kepada 812 tangkapan (2,823
orang) pada 2011 berbanding 2,105 orang pada 2010,” katanya.
Secara kasar, katanya, polis mendapati kebanjiran wanita Vietnam
disebabkan mahir berbahasa Inggeris atau sekurang-kurangnya boleh
berkomunikasi dalam bahasa itu yang memudahkan mereka berurusan dengan
pelanggan.
“Jika wanita China, pelanggan yang tidak pandai berbahasa Mandarin atau
Hokkien terpaksa membuat tawaran melalui kalkulator (menaip angka) untuk
meminta diskaun dan ia merumitkan, berbanding hanya menyebut angka
dalam bahasa Inggeris dengan wanita dari Vietnam.
“Ia seakan-akan lucu, tetapi itulah fenomena yang berlaku berdasarkan
pengamatan polis dalam beberapa serbuan sebelum ini,” katanya.
Metro Ahad difahamkan, berdasarkan hitungan kasar, wanita warga asing
menawarkan perkhidmatan serendah RM180 untuk sekali perkhidmatan dan
jika didarab dengan 10, ia menjadi RM1,800 jika mereka ‘bekerja’ dari
jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.
“Jumlah RM1,800 jika dikumpul selama 20 hari menjadikan pendapatan
mereka RM36,000 dan selepas ditolak perbelanjaan makan, minum serta sewa
rumah, mereka masih mampu membawa pulang RM30,000.
“Itu bagi mereka yang tidak mengamalkan cara hidup mewah dan jika
berbelanja RM10,000 sebulan sekalipun, mereka masih mampu membawa wang
ke negara asal sebelum kembali semula ke Malaysia untuk mengumpul
kemewahan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap kehadiran pelancong sebegini, terutama
yang mempunyai cop keluar masuk lebih daripada dua kali ke negara ini,
dipantau supaya kegiatan seperti itu dapat dibendung, selain merekodkan
cap jari pelancong bagi mengelak identiti mereka dipalsukan.
“Kita tidak nafikan ada antara mereka benar-benar melancong dan berminat
dengan keindahan negara kita, tapi pada masa sama kita harus berwaspada
dan mengawasi pergerakan dengan memantau aktiviti dan mengetahui lokasi
mereka.
“Mungkin kita perlu memperkenalkan sistem penjamin, iaitu mereka yang
ingin ke negara ini perlu ada sekurang-kurangnya seorang penjamin bagi
memastikan golongan ini tidak melanggar undang-undang negara dan jika
ingkar, penjamin boleh dikenakan tindakan,” katanya.
-metro-