JERANTUT 13 Feb. - Setiap
kali berlakunya bencana alam atau kemalangan jalan raya, pastinya pihak
hospital, polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM)
merupakan empat agensi utama yang saling berganding bahu dalam usaha
menyel...amat mangsa.
Jika dinilai secara kasar, pihak polis merupakan agensi pertama yang
akan tiba di tempat kejadian terlibat dalam mengawal aliran trafik dan
orang ramai manakala pasukan bomba dan penyelamat pula bertindak memadam
kebakaran serta mengeluarkan mangsa dari tempat bencana atau
kemalangan.
Pihak hospital pula menyediakan alatan untuk merawat mangsa dan JPAM menyediakan khidmat bantuan.
Kerjasama yang mantap antara empat agensi tersebut amat ditagih setiap
kali berlaku bencana serta kemalangan dan kecekapan mereka menjadi
penentu segala-galanya.
Oleh demikian, empat agensi tersebut
yang beroperasi di daerah ini baru-baru ini mengadakan satu latihan
menyelamat mangsa membabitkan kemalangan kereta api dengan tiga buah
kenderaan lain.
Bunyi siren beberapa jentera bomba, kereta
peronda polis dan ambulans menggemparkan penduduk di bandar ini
kira-kira pukul 12.15 pagi yang bergegas ke tempat kemalangan melibatkan
kereta api dan tiga kenderaan berhampiran Stesen Kereta Api Tanah
Melayu Berhad (KTMB) Jerantut.
Dalam kejadian pukul 12.05 pagi
itu, sebuah lori yang dipandu oleh warga tempatan bersama seorang
kelindan dipercayai melanggar pagar penghadang laluan kereta api yang
turut diikuti dua kereta pacuan empat roda ketika kereta api melalui
laluan tersebut.
Akibatnya, kereta api tersebut melanggar lori
serta kereta berkenaan mengakibatkan mangsa di dalam Mitsubishi Pajero
tercampak keluar dari kenderaan dan mengalami kecederaan parah.
Suasana di tempat kejadian menjadi kelam-kabut dengan jeritan dan rintihan mangsa meminta tolong.
Terdapat beberapa mangsa yang cedera ringan cuba menyelamatkan diri di
samping ada yang terbaring berlumuran darah termasuk tersepit dalam
kenderaan.
Lalu lintas di kedua-dua arah jalan berkenaan mula
sesak dan orang ramai mengerumuni lokasi tragedi ngeri itu untuk melihat
keadaan sebenar.
Bagaimanapun, orang ramai yang pada mula
menyangka ia merupakan kemalangan ngeri ternyata meleset kerana kejadian
tersebut sebenarnya satu simulasi menyelamat mangsa kemalangan
melibatkan kereta api dan kenderaan lain.
Ia melibatkan empat agensi iaitu Hospital Jerantut, Bomba dan Penyelamat, polis dan JPAM Jerantut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Supritendan Zakaria Kassim
berkata, pihak polis terus bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima
panggilan kecemasan.
"Ketika tiba di tempat kejadian, kami
dapati Mitsubishi Pajero dalam keadaan terbalik dan mangsa
bergelimpangan di atas jalan, tidak lama selepas itu beberapa ambulans
dari Hospital Jerantut dan JPAM tiba di tempat kejadian termasuk bomba.
"Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa tersepit dan dibantu JPAM
untuk membawa mangsa ke kawasan selamat dengan menempatkan kakitangan
hospital untuk memberi bantuan awal sebelum dihantar ke hospital,"
katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Sementara itu,
Pengarah Hospital Jerantut, Dr. Devaraj Salam berkata, latihan berkenaan
bertujuan meningkatkan tahap kecekapan agensi masing-masing dalam
menghadapi kemalangan yang teruk.
Katanya, latihan itu meliputi
pelbagai aspek termasuk komunikasi berkesan, penyampaian maklumat,
koordinasi agensi di kawasan bencana dan mengelakkan daripada
pertindihan tugas di antara agensi terlibat yang boleh menyebabkan
kerugian dari segi masa serta tenaga.
Beliau memberitahu,
kejadian tersebut menyebabkan dua mangsa cedera parah, tiga orang pada
tahap sederhana manakala selebihnya hanya mengalami cedera ringan dan
semua mangsa dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
"Latihan ini dijalankan dengan jayanya apabila semua agensi menunjukkan
kecekapan dan semangat kerjasama baik dengan masing-masing mengetahui
tugas yang perlu dilakukan ketika berdepan kemalangan ngeri seperti ini.
"Dengan adanya latihan seperti ini kita dapat melihat dan menilai
kecekapan menyelamat semua agensi selain aspek pengurusan lokasi
kejadian yang turut dititikberatkan," katanya.
No comments:
Post a Comment