KUALA LUMPUR - Telefon pintar baharu yang akan dipasarkan di Malaysia menjelang April, menyasarkan segmen pasaran mampu milik.
Telefon berharga di bawah RM500 itu dimajukan dan dikeluarkan di Malaysia oleh sebuah syarikat tempatan, DMD Mobile Sdn Bhd.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr Mohammed M. Daud, berkata syarikat itu
sedang berunding dengan penyedia-penyedia perkhidmatan telekomunikasi
bagi "DMD Android Smartphone Communicator", yang mempunyai kapasiti
menampung rangkaian 3.75G dan kelajuan 650 Mhz bagi pemproses utama.
"DMD Android Smartphone Communicator dengan ciri Komunikasi Medan Dekat
serta ciri-ciri dan aplikasi khusus lain, boleh menjadi penanda aras
bagi industri ini di negara ini," katanya pada majlis pelancaran telefon
pintar itu di sini hari ini.
Mohammed berkata telefon itu ditawarkan dengan platform perkhidmatan
lengkap bagi pasaran prabayar, termasuk komunikasi bersepadu dan
sembang, emel mudah alih dan rangkaian sosial.
"Ia akan ditawarkan bersama dengan pakej mudah alih dan komunikasi dalam talian dengan bayaran RM10 sebulan," katanya.
Menurutnya DMD Mobile akan juga memasarkan telefon itu di Asia Selatan dan Timur Tengah.
"Kami akan melancarkan pemasaran antarabangsa pada Kongres Mudah Alih Sedunia di Barcelona pada 28 Feb," katanya.
Mohammed berkata telefon pintar itu merupakan pencapaian penting dan ia
membuktikan bahawa syarikat-syarikat Malaysia mampu mencipta inovasi dan
bersaing dalam sektor telefon mudah alih.
Beliau berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)
menyediakan sokongan Penyelidikan dan Pembangunan bagi projek itu. -
Bernama
No comments:
Post a Comment