sila like fan page rileks~ tenang~... terima kasih

suka blog ni?

IKLAN

Tuesday, 16 October 2012

adab menuntut ilmu




1.Ikhlas

Menuntut ilmu tidaklah untuk lulus dalam perperiksaaan, untuk bergaji tinggi, untuk dikatakan orang yang bijak pandai atau lain2 niat melainkan hanya kerana Allah SWT.

Daripada Ibn Umar RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa yang menuntut ilmu kerana selain daripada Allah SWT ataupun menghendaki menuntut ilmu selain daripada kerana Allah SWT, maka disediakan tempat duduknya daripada neraka." [HR Tarmizi]

2.Beradab dengan orang yang memberi ilmu

Berkata Imam Syafie :

"Siapa yang ingin dibuka hatinya oleh Allah, maka hendaklah ia bersunyi diri, sedikit makan, menjauhi daripada bergaul dengan orang yang bodoh, dan membenci orang yang tidak berlaku adil dan tidak beradab daripada kalangan mereka yang berilmu" [Syarah Mazhab, jilid 1, m/s 31]

3.Banyak Sabar

Imam Syafie pernah berkata:

"Tidak diperolehi ilmu kecuali dengan bersabar atas kesengsaraan." [Kitab Muntalaqat Talib al Ilmi, m/s: 237]

4. Tulis setiap yang dipelajari

Kata Abu Hurairah ra:

"Tidak ada seorangpun daripada sahabat Rasulullah SAW yang paling banyak meriwayatkan hadis kecuali Abdullah bin Amr bin al Asr, maka sesungguhnya dia telah menulis dan aku tidak menulis" [HR Ahmad dan Baihaqi]

5.Tawadhu'

Imam Ahmad bin Hambal berkata:

"Kami disuruh supaya tawadhu' (rendah diri) kepada siapa yang kami pelajari ilmu daripadanya." [Kitab Muntalaqat Talib al Ilmi, m/s 274]

6.Menjahui dari makan banyak

Ibn Jama'ah berkata:

"Sebesar-besar perkara yang menolong seorang penuntut ilmu dengan kefahaman dan tidak rasa jemu adalah makan sekadarnya daripada makan yang halal." [Kitab Fadhlu al Ilmi m/s 222]

7.Tidur yang sedikit

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman (syurga) dan mata air, mereka mengambil apa yang diberikan Tuhan kepada mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu (di dunia) adalah orang-orang yang berbuat baik; mereka sedikit sekali tidur di waktu malam dan pada akhir malam mereka meminta ampun (kepada Allah SWT)." [Az Zariyat 51 : 15 – 18]

8.Kurangkan berkata-kata yang tidak menfaat

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka bercakaplah dengan perkataan yang baik ataupun diam."

Wallahua'lam

sejarah dan fenomena facebook




Facebook ialah sebuah tapak web rangkaian sosial yang dikendali dan dimiliki secara persendirian oleh Facebook, Inc. Sejak 2006, sesiapa yang berumur 13 tahun ke atas dan memiliki alamat e-mel yang sah boleh menjadi pengguna Facebook.

Facebook lebih menyasarkan golongan belia berbanding dewasa. Pengguna boleh menambah rakan dan saling menghantar mesej, serta mengemas kini profil peribadi mereka sebagai makluman kepada rakan-rakan. Selain itu, pengguna juga boleh menyertai rangkaian yang dianjurkan oleh tempat kerja, sekolah, atau kolej.

Nama Facebook berasal daripada timangan yang digunakan untuk buku-buku yang diserahkan oleh pihak pentadbiran universiti kepada para penuntut pada permulaan tahun akademik di AS dengan tujuan membantu penuntut saling mengenali.

Facebook diasaskan oleh Mark Zuckerberg bersama teman-teman sebilik nya iaitu Eduardo Saverin, Dustin Moskovitz dan Chris Hughes. Zuckerberg dilahirkan pada tahun 1984 di New York. Facebook adalah merupakan satu sistem jaringan sosial yang beliau cipta bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan sesama pelajar di Universiti Harvard. Facebook direka untuk rakan rakannya yang lain di universiti bagi memudahkan mereka berinteraksi antara satu sama lain dan supaya lebih mengenali sesama mereka.

Pada mulanya, keahlian tapak web ini terhad kepada penuntut Harvard, tetapi kemudian beransur-ansur diperluaskan kepada kolej-kolej lain di kawasanBoston, Liga Ivy, dan Universiti Stanford. Selepas itu, Facebook berkembang lagi untuk merangkumi mana-mana pelajar universiti, kemudian pelajar sekolah tinggi, dan akhirnya, sesiapa sahaja yang berumur 13 ke atas. Kini, tapak web ini dianggotai oleh lebih 400 juta pengguna aktif seluruh dunia.

Konsep asal Facebook dipinjam dari hasil keluaran Akademi Phillips Exeter, sebuah sekolah persediaan yang pernah dihadiri oleh Zuckerberg, yang menerbitkan dan mengedarkan manual bercetak untuk semua pelajar dan fakulti selama berpuluh-puluh tahun, iaitu “face book“.

Facebook juga berdepan dengan kontroversi. Mula-mulanya, ia pernah disekat secara sementara di beberapa negara termasuk Syria, China, Vietnam dan Iran. Facebook juga dilarang di kebanyakan tempat kerja untuk menghindarkan para pekerja daripada membuang masa bersama perkhidmatannya.

Satu lagi isu adalah para pengguna Facebook dicabuli privasi mereka beberapa kali. Facebook pernah menjelaskan tuntutan mahkamah mengenai kod sumber dan harta intelek. Tapak web ini juga pernah terlibat dalam kontroversi penjualan peminat dan rakan-rakan.


Facemash

Mark Zuckerberg mencipta Facemash pada 28 Oktober 2003, sebagai pelajar tahun dua di Universiti Harvard. Facemash meletakkan dua gambar bersebelahan sekali lalu meminta para pengguna untuk memilih orang mana yang ‘lebih hangat’”. Untuk melakukan demikian, Zuckerberg menggodam kawasan terlindung dalam rangkaian komputer Harvard lalu menyalin gambar-gambar ID asrama yang sulit.

Ketika itu, Harvard tiada buku panduan pelajar yang diisi gambar dan maklumat asas, dan Facemash berjaya menjana 450 pelawat dan 22,000 tontonan foto sepanjang empat jam terawal nya dalam talian. Ciri-ciri Facemash yang mencerminkan komuniti fizikal orang ramai, dengan identiti sebenar sekali, merupakan aspek-aspek terpenting untuk Facebook.

Tapak web berkenaan dikirimkan ke beberapa pelayan senarai kumpulan kampus, tetapi beberapa hari kemudian, ia ditutup oleh pihak pentadbiran Harvard. Zuckerberg didakwa mencabuli keselamatan, hak cipta, dan privasi individu oleh pihak pentadbiran, sehingga menghadapi hukuman buang sekolah, tetapi akhirnya tuduhan-tuduhan tersebut digugurkan.


The Facebook

Pada penggal berikutnya, Zuckerberg mula menulis kod untuk sebuah laman web baru pada Januari 2004. Beliau mengakui dirinya diilhamkan oleh editorial dalam senaskhah The Harvard Crimson mengenai peristiwa Facemash.

“Saya rasa adalah tidak masuk akal bagi pihak Universiti untuk memakan masa dua tahun untuk membiasakan diri. Saya boleh melakukannya dengan lebih baik daripada mereka, dan saya mampu melakukannya dalam seminggu.”

Keahlian TheFacebook.com pada mulanya terhad kepada pelajar Kolej Harvard, dan dalam sebulan pertama, lebih separuh jumlah mahasiswa Harvard berdaftar dengan perkhidmatan ini. Kemudian, Zuckerberg disertai oleh Eduardo Saverin (aspek perniagaan), Dustin Moskovitz (pengaturcara), Andrew McCollum (pereka grafik), dan Chris Hughes untuk mempromosikan tapak web ini.

Pada Mac 2004, Facebook diperluaskan ke universiti-universiti Stanford, Columbia, dan Yale. Perluasannya berterusan dengan pembukaannya ke seluruh maktab pengajian tinggi bertaraf Liga Ivy dan di kawasan Boston, diikuti hampir semua universiti di Kanada dan Amerika Syarikat. Facebook diperbadankan pada pertengahan tahun 2004, dan usahawan Sean Parker yang selama ini menjadi penasihat tak rasmi Zuckerberg, menjadi presiden syarikatnya.

Pada Jun 2004, Facebook memindahkan tapak operasinya ke Palo Alto, California. Perkataan “The” digugurkan dari namanya setelah nama domain facebook.com dibeli dengan harga $200,000 pada tahun 2005.

Facebook melancarkan versi sekolah tinggi pada September 2005, sebagai apa yang diperkatakan oleh Zuckerberg sebagai langkah logik seterusnya.K etika itu, rangkaian sekolah tinggi memerlukan jemputan untuk menyertainya. Facebook kemudian meluaskan kelayakan keahliannya kepada para kakitangan beberapa syarikat, termasuk Apple Inc. dan Microsoft. Akhirnya pada 26 September 2006, Facebook dibuka kepada semua yang berumur 13 tahun ke atas dengan alamat e-mel yang sah.

Pada April 2006, palabur pertama Facebook iaitu Peter Thiel bersama Greylock Partners dan Meritech Capital Partners telah menambah pelaburan di Facebook dengan dana sejumlah US$25 juta.

Selepas 2 tahun Facebook beroperasi, muncul pula pelbagai laman jaringan sosial  seperti Myspace dan YouTube yang dijual dengan harga berjuta dollar. Myspace menerima tawaran NEWS CORP sebanyak US$580 juta manakala YouTube pula menerima tawaran sebanyak US$1.5 billion dari Google.

Tapi apa yang menariknya ialah Mark Zuckerberg tidak mahu menjual Facebook walaupun telah ditawarkan oleh Google & Yahoo pada harga mencecah US$1 billion. Walaupun keputusan beliau telah mengundang pelbagai spekulasi negatif tapi dia telah membuktikan masih banyak lagi yang boleh dicapai oleh Facebook. Hasilnya selepas 3 tahun penubuhan Facebook, Mark Zuckerberg telah dinobatkan sebagai bilionair termuda dunia oleh Majalah Forbes dengan anggaran harta bernilai US$1.5 billion.

Sehingga kini makin ramai pelabur yang membuat pelaburan di Facebook dan yang terbaru ialah Firma Goldman Sachs sebanyak US$450 juta serta syarikat Digital Sky Technologies sebanyak US$50 juta dalam bentuk mata wang. Pelaburan itu membuatkan harga semasa Facebook ketika ini sudah mencecah US$50 billion (RM153 billion). 25% daripada saham Facebook adalah milik Mark Zuckerberg sendiri.

Hari ini fenomena FB telah melanda segenap lapisan masyarakat. Miskin, kaya, tua, muda, pemimpin negara, rakyat biasa, pegawai tinggi, kuli, polis, penjenayah, dan bahkan pengemis jalanan pun ada akaun FB. Seseorang apabila ditanya sama ada memiliki akaun FB atau tidak, jika jawapannya “tidak ada”, si penanya akan memandangnya dengan penuh skeptikal. Seperti tidak lengkap jika tidak ada FB. Seperti orang yang tidak memiliki telefon bimbit.

Sedar tak sedar fenomena ini telah memberi impak yang banyak baik kepada individu, keluarga, masyarakat, organisasi dan negara. Di dalam FB sesiapa saja bebas untuk mengatakan apa saja; memuji, mengutuk, meluahkan kemarahan, kepandaian, dan juga kebodohan. Oleh itu impaknya boleh jadi positif dan boleh jadi juga negatif, bergantung kepada siapa yang membuat kenyataan dan kepada siapa kenyataan itu ditujukan.

Sedar tak sedar FB telah menjadi seperti dadah yang menyebabkan ahli-ahlinya ketagih kerana ‘keseronokan’ sementara yang ditawarkan; bergosip dan bermain permainan maya yang tidak kunjung tamat.

Dalam FB para politikus menunjukkan taring mereka. Ada pekerja yang diberhentikan kerja gara-gara mengutuk bos dalam FB dan produktiviti yang merosot. Ada pasangan yang bergaduh besar dan ada yang sampai berpisah gara-gara status FB sahaja. Kesihatan orang-orang yang aktif berFB juga ada yang terjejas kerana tidak cukup rehat gara-gara ‘bermain’ FB tidak mengira waktu, tempat dan keadaan.

Bagi yang lebih kreatif dan berwawasan, mereka menggunakan FB untuk tujuan komersial dengan membina network pemasaran. FB juga menjadi tempat untuk ‘bertemu’ rakan2 yang sudah lama terpisah, dan bahkan ada yang menemukan pasangan hidup melalui FB. FB juga boleh digunakan sebagai medan percambahan minda melalui perbincangan maya yang efektif. Dan dengan cara yang berpatutan, ahli-ahli juga boleh menyalurkan ‘kegiatan2 ibadah’ melalui FB.

Fenomena Facebook adalah seperti fenomena internet yang melanda dunia ketika mula-mula diperkenalkan lebih sedekad yang lalu. Antara ketakutan terhadap impak negatif dan harapan terhadap kesan baiknya, mahu tidak mahu kita harus menerima masuk teknologi tersebut. Begitu juga dengan Facebook. Dalam masa beberapa tahun ke depan bilangan penggunanya pasti akan berlipat kali ganda. Tidak lama kemudian, mungkin semua pengguna internet akan memiliki akaun laman sosial masing-masing (pengguna internet pada tahun 2009 ialah sebanyak ¼ penduduk dunia!).

Facebook sering kali di cop negatif oleh sebilangan manusia. Namun pernahkah kita perasan yang Facebook juga memberi banyak kebaikan dalam seharian hidup kita. Berikut merupakan antara kebaikan-kebaikan Facebook:

1. Belajar bersabar dengan kerenah insan.
2. Belajar bersahabat dengan dunia yang tidak mengenali kita.
3. Belajar berbaik sangka dengan pendapat-pendapat dibaca.
4. Belajar menilai dengan apa yang kita pandang dari pelbagai gambar dan rupa.
5. Belajar mengembara mencari iktibar dari paparan ilmunya.
6. Belajar bersuara dengan kata-kata jiwa dengan keikhlasan di dada.
7. Belajar faham tentang sifat, ragam, sikap dan tragedi manusia.
8. Belajar senyum dan gembira dengan cara maya.
9. Belajar simpati dengan malang yang menimpa yang lain.
10. Belajar berkasih-sayang walau tanpa mata bertentangan.
11. Belajar bertahan dengan pelbagai cemuhan.
12. Belajar menyampaikan amanat Rasulullah s.a.w dan Allah s.w.t.
13. Belajar mengubah keburukan menjadi teladan.
14. Belajar membalut diri dengan kebaikan-kebaikan alam.

Sebenarnya banyak yang kita boleh pelajari tentang diri sendiri bagi kita yang berjaya melihat dengan mata hati. Sesungguhnya tidak dinafikan ada terselit kebaikan di sebalik kejahatan dan begitu juga sebaliknya kerana ini lah lumrah kehidupan manusia.

Ketika Mark Zuckerberg mula menulis program Facemash pada Oktober 2003, tiada siapa menyangka bahawa ia merupakan satu titik tolak kepada fenomena baru dunia. Terkini, Facebook merupakan rangkaian laman sosial  tersohor dunia dengan lebih 600 juta pengguna aktif selain merupakan syarikat web ketiga terbesar di Amerika Syarikat (selepas Google dan Amazon) dengan nilai USD41 billion.

Apa yang pasti, Facebook merupakan ‘keajaiban’ dunia masa kini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...